Semalam mas dapat emel dari rakan pejabat berkenaan Hari Raya Aidil Adha. Mas tertarik dengan tazkirah beliau. Meh kita kongsi sama-sama tazkirah beliau untuk penghayatan kita semua....
TAZKIRAH RINGKAS SEMPENA HARI RAYA EIDUL ADHA 1433H
UNTUK INGATAN SAYA SERTA MUSLIMIN MUSLIMAT SEMUA...
1. Bagi yang mampu korban, makruh bercukur atau memotong kuku setelah tiba bulan Zulhijjah hingga penyembelihan korban selesai dijalankan.
2. Disunatkan berpuasa pada 9 Zulhijjah (Hari wukuf di Arafah).
3. Pada hari raya, disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, sunat menunaikan sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat dengan 7 takbir pada rakaat pertama diikuti 5 takbir pada rakaat kedua.
4. Pada kebiasaannya, solat sunat Eidul Adha dipercepatkan sedikit berbanding solat sunat Eidul Fitri. Hikmahnya adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban. Manakala dilewatkan sedikit solat sunat Eidul Fitri pula adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid.
5. Sunat bertakbir sepanjang 10 Zulhijjah hingga hari-hari tasyrik (11- 13 Zulhijjah). (Takbir selama 4 hari...)
6. Disunatkan makan selepasnya supaya makanan yang mula-mula dimakan pada hari itu ialah daging korban yang berkat. Selepas solat, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid atau di rumah sebelum dibahagi-bahagikan dagingnya kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.
7. Binatang yang lebih afdhal dikorban ialah unta diikuti dengan lembu kemudian biri- biri atau kibasy kemudian kambing. Ini memandangkan kuantiti dagingnya yang lebih banyak bagi maksud pengagihan yang lebih meluas untuk fakir miskin. Hanya binatang ternak berkaki empat (an’am) sahaja yang dibuat korban.
8. Korban 1/7 bahagian hanya untuk ternakan yang lebih besar seperti unta dan lembu. Tidak boleh untuk kambing / kibasy.
9. Sebahagian ulama’ berpendapat daging korban dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu 1/3 daging disedekahkan dalam keadaan mentah, 1/3 daging dimasak dan dibuat jamuan dan 1/3 daging dimakan oleh orang yang berkorban.
10. Daging korban tidak boleh dihadiahkan khas sebagai upah kepada tukang sembelih/tukang lapah tetapi jika berupa wang atau barangan lain diharuskan. Ini berdasarkan tegahan Rasulullah. Tetapi jika diberikan daging korban tersebut samarata seperti orang lain, adalah diharuskan. Daging korban ditegah untuk dijual beli. Hanya untuk diagih dan dimasak / makan sahaja.
11. Lebih afdhal jika orang yang melakukan ibadah korban menyembelih sendiri binatang korbannya dan dibaca doa seperti berikut sambil berselawat dan bertakbir:
“Ya Allah, ini adalah nikmat yang datang dariMu dan dengannya aku mohon untuk dapat mendampingiMu.”
Sunat wakil yang melakukan sembelihan menyebutkan orang yang mewakilkannya seperti:
“Dengan nama Allah dan Engkau Yang Maha Besar, ini daripadaMu dan untukMu. Terimalah Ya Allah daripada si pulan, si pulan.....”
Hadith 1:
“Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Eidul Adha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)
Hadith 2:
"Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih." (Hadis riwayat At-Tirmizi dan Al-Hakim)
Semoga bermanfaat untuk kita semua, insyaAllah. Wallahua’lam.
Selamat Hari Raya Aidil Adha, Maaf zahir dan Batin.
No comments:
Post a Comment